Selasa, 7 Jun 2011

Dakwah Rasulullah hingga hujung Nyawa

Rasulullah SAW terkenal sebagai seorang figura yang amat mementingkan hubungan kekeluargaan atau silaturrahim. Sifat mulianya yang menonjol itu membuatkan seluruh kaum Quraisy mengangkatnya dengan gelaran as-siddiq dan al-Amin sebelum baginda diangkat sebagai Rasul.

Rasa cinta dan setia Rasulullah SAW terhadap kaum keluarganya sangat mendalam, tidak kira mereka masih musyrik atau sudah beriman. Sanggupkah kita mengikuti jejak baginda yang tidak pernah mengalah dengan dugaan sepanjang mendakwahi kaumnya? Menyelamatkan ahli keluarga daripada seksaan api neraka?.

Daripada Abu Hurairah ada diceritakan, “ketika turun ayat dan peringatkanlah olehmu kaum kerabat yang terdekat (as-Syura:24) Rasulullah s.a.w segera memanggil dan mengumpulkan kaum kerabatnya. Di tengah-tengah mereka, baginda berkata,

“wahai (bani) keturunan Abdi Syam, wahai Bani Ka’ab bani Lu’ay, selamatkan dirimu daripada api neraka. Wahai bani Abdi Manaf, selamatkan diri kamu daripada api neraka! Wahai Bani Abdul Mutalib, jagalah diri kalian daripada seksa neraka! Wahai Fatimah anakku, selamatkan dirimu daripada api neraka! Kerana aku tidak boleh membela kalian kelak di hadapan Allah, walau kamu kaum kerabatku, kecuali aku akan menitiskan air-air kekeluargaan ini semampuku untuk menjaga hubungan dengan kamu di dunia.” HR Muslim)

Istilah jemu mesti tidak wujud dalam perbendahraan mindanya, Rasulullah SAW tidak sekali-kali berundur berdakwah kepada orang penting ini. Abu Yalib, pak cik kesayangan Rasulullah SAW ini dikenali sebagai seorang yang amat patuh kepada ajaran nenek moyang. Hinggakan Abu Talib di saat-saat mahu menghembuskan nafas terakhir pun Rasulullah tetap mengulang-ulang ajakan untuk mengucapkan dua kalimah syahadah.

Namun Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umayyah berulang-ulang menghasut Abu Talib agar mengenepikan ajakan Rasulullah saw. Sampai akhirnya Abu Talib meniggal dunia tanpa sempat beriman dengan islam. Bagaimanapun, seperti yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim dan Ahamad, Rasulullah masih meminta ampun kepada Allah atas pak ciknya. Baginda tidak jemu-jemu beristigfar.

“Aku akan terus beristighfar untuk pakcik selama aku tidak dilarang oleh Allah”
Maka turunlah ayat al-Quran (at-Taubah: 113 dan al-Qashash: 56) yang melarang Rasulullah saw dan orang-orang beriman beristighfar untuk orang-orang musyrik walaupun ahli keluarga terdekat. Maka berhentilah Rasulullah SAW mendoakan dan beristghfar untuk kaum kerabatnya.


Moral: iInilah contoh kesetiaan bagi sesorang yang amat menyayangi keluarganya kerana Allah semata-mata. Walaupun pahit untuk ditelan, tetapi hakikatnya, keturunan bukanlah tiket untuk kita selamat di dunia dan akhirat. Kerana iman tidak boleh diwarisi.

Sabtu, 14 Mei 2011

NiLai TuDuNg sEoRaNg WaNiTa

Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.

Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.

Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat.

Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya.

Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini. Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung.

Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita. Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya.

Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab. Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung?

Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.

Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi. Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam.

Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. Mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka. Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian.

Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri. Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati).

Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati. Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah itu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran.

Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain. Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki.

Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing.
Yakinlah pada ketentuan qada' dan qadar dari Allah. Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain. jaga tertib sebagai seorang wanita.

Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah.

Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui "Islam is really beautiful." Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya.

Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.