Jumaat, 29 Oktober 2010

Bidadari Syurga Dunia

“  Keistimewaan yang Allah berikan kepada wanita terlalu banyaknya ”

Kasihnya Allah kepada wanita.. ”



Itulah kata-kata yang paling mudah digunakan untuk menggambarkan ‘ layanan ’  istimewa terhadap wanita dalam Islam. Sesungguhnya, tidak akan ada mana-mana ajaran, ideologi, isme atau agama lain yang dapat melayan wanita dengan sebegitu baik sepertimana Islam melayan wanitanya. Malah, kalau bergabung pun kesemua wanita yang cerdik pandai, berharta dan berkuasa di seluruh dunia ini untuk menambah hak dan pengiktirafan buat mereka, mereka pasti tidak akan mencapai taraf kemuliaan serta layanan baik yang Allah Subhanahu wata’ala tawarkan buat seorang wanita di dalam Islam.

Namun, ramai wanita yang tidak memahami hal ini. Lantaran itu kebanyakan mereka tertipu oleh nafsu sendiri dan merasa terkongkong dengan amalan atau larangan tertentu yang digunakan ke atas wanita Islam seperti amalan menutup aurat, larangan bergaul bebas, poligami, larangan wanita menjadi pemimpin dan lain-lain lagi. Mereka cukup takut dan gerun dengan kesemua amalan atau larangan yang dianggap sangat menindas wanita. padahal kalau dikaji setiap satu amalan atau larangan itu, mudah sahaja untuk melihat hikmah dan kebaikannya kepada kaum wanita itu sendiri.

Lalu kita melihat apa yang diperjuangkan oleh pejuang-pejuang hak wanita ialah mereka kalau boleh tidak mahu sembarang sekatan dikenakan ke atas mereka. Tentulah ini tidak muhasabah. Sedangkan manusia sendiri banyak membuat peraturan-peraturan serta larangan itu dan ini, atas alasan hendak menjaga keselamatan diri atau masyarakat awam. Contohnya, dalam soal lalu-lintas, terlalu banyak peraturan dan larangan yang manusia buat seperti jangan memandu melebihi had laju, tidak boleh letak kereta di garisan kuning, mesti berhenti apabila ada isyarat lampu merah, mesti hidupkan lampu selepas pukul 7 malam dan berbagai-bagai lagi. Kalau dalam bidang sekecil ini pun perlu banyak peraturan dan larangan, sudah tentulah dalam bidang kehidupan lebih memerlukan lagi, dan lebih-lebih lagilah kalau skopnya itu jauh lebih luas iaitu untuk keselamatan dunia dan Akhirat.

Allah sebenarnya sangat kasih dan memuliakan kaum wanita. Segala suruhan dan larangan yang Allah kenakan ke atas kaum wanita tidak lain dan tidak bukan ialah untuk memastikan keselamatan dirinya dan masyarakat dan sekali-kali bukan untuk menyusahkan mereka. Tetapi, atas hujah dan alasan apa dakwaan ini dibuat,..??? Mari kita lihat satu persatu pengiktirafan yang diberikan oleh Allah kepada wanita, sama ada setara langsung atau pun tidak.



1. Gelaran bagi `isteri’ di dalam Al Quran

Perkataan yang Allah gunakan di dalam Al Quran untuk menunjukkan suami atau isteri adalah perkataan yang sama, sedangkan dalam bahasa- bahasa lain, perkataan untuk suami dan perkataan untuk isteri menggunakan dua perkataan yang berbeda. Misalnya, dalam bahasa Inggris, perkataan untuk suami ialah `husband ’  manakala perkataan untuk isteri ialah `wife’ . Sementara dalam bahasa Perancis pula, perkataan untuk suami ialah `  mari’  manakala perkataan `femme’  untuk isteri.

Tetapi di dalam Al Quran, suami dan isteri tidak disebut dua perkataan yang berbeda ` zaujuh ’ dan ` zaujati ’ . Hanya satu perkataan yang digunakan untuk kedua-duanya iaitu ` zaujuh ’  yang bermakna ` pasangan ’ . Islam melihat suami dan isteri adalah pasangan, penutup dan juga pelindung buat yang lain. Mereka dilihat sebagai sepasang, bukan berasingan. Sudah tentulah ini bermakna yang kaum lelaki di dalam Islam tidak dianggap lebih mulia daripada kaum wanitanya. Apabila kita mengatakan sepasang kaca mata, sepasang stokin atau sepasang baju, tentulah kita menganggap mereka setara dan tidak dapat dipisahkan di antara satu sama lain. Dan sudah tentulah kita tidak menganggap yang stokin kanan lebih hebat daripada stokin kiri atau kaca mata kanan lebih baik daripada kaca mata kiri. Begitulah tamsilannya sepasang suami isteri di dalam Islam seperti yang tercatat di dalam Al Quran.

Namun, gelaran zaujuh ini hanya diberikan kepada isteri yang sama beriman. Bagi isteri yang tidak beriman, mereka tidak disebut zaujuh. Contohnya, isteri Nabi Lut dan isteri Nabi Nuh. Di dalam Al Quran, mereka disebut ‘ imraah ’, kerana isteri sebegini tidak dianggap pelengkap, pelindung atau penutup kepada suaminya.


2. Pembelaan Rasulullah Shallallahu ‘alaihiwasallam Terhadap Wanita

Rasulullah ada banyak menyatakan Hadis-Hadis yang menunjukkan betapa wanita itu dimuliakan di dalam Islam,

  1. “ Syurga di bawah telapak kaki ibu. ” Apakah wanita tidak rasa mulia dengan Hadis ini,..??? Mengapa Rasulullah memilih perkataan “ di bawah telapak kaki ”  dan bukan “ di dalam tangan ”  atau “di sisi” seorang ibu,..??? Sudah tentu ini sangat menggambarkan mulianya seorang wanita di dalam Islam. Seorang yang faham tentu akan sangat memandang mulia, menghormati, membela serta berlumba-lumba untuk berkhidmat dan meng’hamba’kan diri kepada ibunya (dengan syarat segala yang dibuat itu tidak melanggar syariat). Tidakkah beruntung menjadi seorang ibu di dalam Islam? Dia tidak akan terbiar dan dipinggirkan, malah akan sentiasa dibela, dihormati dan dimuliakan oleh anak-anaknya.
  2. “ Orang yang paling baik dari antara kamu itu ialah yang paling baik kepada isi rumahnya, dan aku ini orang yang paling baik dari antara kamu kepada isi rumahku. ”
  3. “ Tidak akan memuliakan perempuan-perempuan melainkan orang yang mulia, dan tidak menghina akan perempuan-perempuan melainkan orang yang hina. ” (Hadis riwayat Ibnu `Asakir)
  4. “ Bergaullah kamu dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang sopan. Kemudian bila kamu tidak menyukai mereka, (maka bersabarlah) kerana mungkin kamu tidak menyukai sesuatu, padahal Allah menjadikan padanya kebaikan yang banyak. ”
  5. “ Janganlah seorang mukmin lelaki membenci kepada seorang (isterinya yang) mukminah, kerana walaupun ada satu perangainya yang lelaki itu tidak suka, tetapi (tentu) ada lain perangainya yang is suka. ” (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)

Demikianlah hak-hak istimewa seorang wanita yang diberi oleh Islam. Dalam satu masyarakat yang bertaqwa, kaum wanita tidak perlu bimbang yang mereka akan diperleceh, dipermain atau diperkotak-katikkan oleh kaum lelaki, sebaliknya mereka boleh yakin bahawa pihak lelaki akan sentiasa melindungi, menasihati, menegur dan membimbing mereka dengan ikhlas.


3. Bagian Tubuh Wanita Dianugerahkan Nama yang Mulia

Dalam tubuh wanita, ada satu bahagian yang diberi nama yang begitu mulia yaitu rahim. Perkataan ini diambil dari nama Allah " Ar-Rahim " yang bermaksud `Maha Penyayang ’. Sudah tentulah Allah tidak akan memberikan nama yang semulia ini kepada sesuatu yang hina di sisi-Nya. Sudah tentu Allah akan memilih sesuatu yang mulia juga untuk dianugerahkan nama yang begitu mulia. Allah tidak berikan nama yang semulia ini kepada bagian tubuh lelaki tetapi Dia memberikannya kepada bahagian tubuh wanita. Rahim inilah yang merupakan penghubung kepada makhluk. Di dalam rahimlah, wanita menjaga ciptaan Allah dan memberi makan kepada apa yang Allah ciptakan.

Kaum wanita sepatutnya merasa sangat malu kepada Allah kerana memberi penghargaan yang begitu tinggi kepada mereka. Siapa boleh nafikan kepentingan rahim untuk kewujudan manusia,..??? Anugerah rahim kepada wanita sebenarnya sudah cukup untuk membuktikan akan mulianya wanita di sisi Allah.



4.  Diberi Pahala yang Berterusan

Wanita disebut `kurang dari sudut agama’, tetapi ini bukan bermaksud yang wanita itu kurang dari sudut iman dan taqwanya. Mereka cuma kurang bersolat ketika datang haid dan nifas. Namun, oleh kerana di waktu-waktu lain mereka sentiasa bersolat, maka sepanjang waktu haid dan nifas itu, Allah tetap memberikan juga pahala solat sekiranya mereka dapat bersabar dengan keadaannya yang tidak selesa itu.

Bayangkan seorang wanita yang baru melahirkan anak. Sudahlah digugurkan dosa-dosanya seperti seorang bayi yang baru lahir, diberikan pula pahala solat percuma sepanjang dia dalam keadaan nifas. Dan kalau dia sabar menyusu, memelihara dan melayan kerenah anaknya pula, makin banyaknya pahala yang Allah sediakan untuknya.

Aduh! Maha Pemurahnya Allah kepada wanita. Maha Baiknya Allah kepada golongan yang sering dianggap lemah dan terpinggir ini..! Kalaulah wanita-wanita pejuang hak asasi itu tahu beginilah ganjaran - ganjaran yang Allah berikan kepada seorang wanita mukminah, pastilah mereka akan meninggalkan perjuangan mereka. Tidak ada apa-apa lagi hak yang perlu diperjuangkan oleh seorang wanita mukminah. Yang Allah tawarkan itu pun sudah terlampau banyaknya.



===


Bidadari Syurga dunia...
Ada senyum yang terukir indah dimuka
Ada bias rona merah di wajah
Memantulkan warna hati si jiwa Syurga..

Bidadari Syurga Dunia..
Wajah yang senantiasa putih dan menawan
Berhiaskan air wudhu yang terpancar
Menambah pesona hiasan mata..

Bidadari Syurga Dunia...
Yang senyumnya selalu merekah
Yang parasnya mempesona
Yang hatinya selembut sutra..

Bidadari Syurga Dunia..
Jadi dambaan setiap wanita
Impian diri wanita sholehah
Qonitat dan berhati bunga..

Bidadari Syurga di hati Luka...
Yang pucatkan muka si durjana
Yang tepiskan angan dunia
Yang hatinya bagaikan kaca..

Bidadari Syurga di hati Dunia...
Yang siangnya bagaikan singa di rimba
Yang malamnya bagai sufi perindu
Syurga Zuhud selendang pengikatnya..

Bidadari Syurga Dunia...
Dimana pun berada kau tetap setia
Pada Allah, Rasul dan juga Dien-Nya
Kemana lagi kan kucari..

Bidadari Syurga Dunia...
Di arusnya dunia merana
Sentuhanmu bangkitkan rasa
Hingga syahid ku jumpa di pintu Syurga..


Tiada ulasan:

Catat Ulasan